KUALA LUMPUR – Seramai 10 pasangan mempelai diraikan meriah dalam Majlis Akad Nikah Rahmah bersempena Sambutan Jubli Emas ke-50 Tahun Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, selain meringankan bebanan golongan memerlukan, perlaksanaan program tersebut sejajar dengan inisiatif JAWI untuk meneroka program-program ilmu pembangunan kekeluargaan.
Ulas Mohd. Na’im, setiap pasangan yang diraikan pada hari ini terdiri daripada golongan asnaf yang terpilih.
Menurut beliau, keutamaan diberikan kepada pasangan yang bermastautin di Wilayah Persekutuan dan berpendapatan bulanan kurang daripada RM4,000.
“Bagi saya, ini merupakan platform terbaik bagi menjayakan agenda pemerkasaan institusi kekeluargaan Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan menerusi penjagaan nasab keturunan yang disarankan oleh syarak.
“Pembentukan keluarga yang bahagia adalah menjadi tunjang kepada pembinaan sebuah masyarakat madani.
“Oleh yang demikian, Jawi selaku agensi tonggak di Wilayah Persekutuan telah diberikan tanggungjawab untuk memperhebatkan program pengukuhan institusi kekeluargaan seperti termaktub dalam Pelan Transformasi Al-Falah,” katanya ketika ditemui di Majlis Akad Nikah Rahmah 2024 di Dewan Serbaguna, Masjid Wilayah Persekutuan, di sini hari ini.
Tambah Mohd. Na’im, beliau menggalakkan orang Islam khususnya orang muda untuk berkahwin lantaran statistik jumlah perkahwinan yang semakin berkurang dan kadar penceraian yang kian meningkat.
“Dalam majlis hari ini, pengantin lelaki hanya perlu bayar mas kahwin, yang lain semuanya disumbangkan oleh rakan-rakan strategik kami.
“Semoga perkahwinan ini menjadi medan bertambahnya iman serta taqwa dalam diri kalian dan semoga zuriat yang bakal lahir menjadi anak-anak yang soleh dan solehah,” katanya.
Dalam majlis tersebut, pasangan pengantin paling muda yang diraikan berusia 18 tahun manakala paling tua pula berusia 52 tahun.
Mohd. Na’im berkata, besar harapan beliau agar Jawi meneruskan usaha-usaha program motivasi kekeluargaan termasuk mengupayakan peranan masjid dan surau untuk memperkukuh pendidikan kekeluargaan.
Menurutnya, perkara tersebut bersesuaian dengan usia penubuhan Jawi yang sudah mencecah 50 tahun.
“Penganjuran program ini adalah tanda prihatin Jawi dalam melaksanakan tanggungjawab kepada masyarakat dengan mensasarkan pasangan pengantin dari kalangan mereka yang berpendapatan rendah dan kurang berkemampuan.
“Oleh itu, program ini seumpama ini sangat baik dan sebagai salah satu platform membantu pasangan muda dari sudut ekonomi dalam mengurangkan kos berkahwin yang perlu mereka ditanggung.
“Inilah peranan yang dimainkan oleh Jawi untuk membantu masyarakat yang memerlukan,” katanya. – KOSMO! ONLINE