fbpx

TRX dirasmi sebagai Hab Kewangan Antarabangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar (tengah) dan Azmar (tiga kiri) melakukan gimik pelancaran Hab Kewangan Antarabangsa Malaysia (TRX) di Menara Exchange 106 di sini, hari ini. - Foto oleh FARIZ RUSADIO / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Pembangunan Tun Razak Exchange (TRX) hari ini dirasmikan sebagai Hab Kewangan Antarabangsa Malaysia oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sepanjang 10 tahun pembangunannya di tengah-tengah ibu kota, TRX dijadikan sebagai sebuah hab perniagaan yang menempatkan pelbagai syarikat termasuk 20,000 pekerja berkemahiran.

Anwar berkata, sebagai Pusat Kewangan Antarabangsa (IFC) negara, kerajaan akan menyediakan beberapa insentif untuk syarikat yang memindahkan pangkalan operasi mereka ke sini.

Ujarnya, ia merangkumi elaun bangunan industri dan pengecualian cukai ke atas 70 peratus daripada pendapatan berkanun untuk tempoh lima tahun bagi harta pemaju.

Selain itu katanya, kerajaan turut memberi pengecualian duti setem ke atas pinjaman dan perkhidmatan untuk TRX Syarikat berstatus.

“Sejajar dengan ekonomi Madani, negara telah mula untuk bina seni bina baharu untuk lebih terbuka dan telus dalam menjadikan ekonomi Malaysia yang berdaya saing.

“Kita mahu di masa depan nanti, setiap rakyat Malaysia mempunyai peluang untuk mendapatkan pekerjaan yang baik dan bergaji tinggi.

“Dalam perancangan lain, Putrajaya juga akan dijadikan sebuah bandar contoh bagi rendah karbon sebagaimana usaha yang sedang dijalankan oleh kerajaan untuk menggunakan sumber tenaga boleh diperbaharui,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Tun Razak Exchange sebagai Pusat Kewangan Antarabangsa Malaysia di Menara Exchange 106, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif TRX City Sdn. Bhd (TRXC), Datuk Azmar Talib berkata, TRX mencerminkan apa yang diperlukan Malaysia iaitu satu destinasi serba moden yang dapat memupuk minda perniagaan yang hebat sekali gus membentuk masa hadapan yang gemilang.

Ujarnya, kejayaan ini tidak akan menjadi kenyataan tanpa sokongan kerajaan, pelabur dan komuniti TRX yang terdiri daripada syarikat-syarikat ‘blue-chip global’ dan tempatan.

“Hari ini, saya berbangaa berdiri di hadapan anda. TRX adalah bukti Malaysia kepada dunia bahawa kita berjaya memenuhi komitmen kita, serta mampu mencapai lebih lagi,” katanya.

Berada di atas pusat beli-belah TRX, adalah Taman Bandar TRX seluas 10 ekar menempatkan ruang awam pertama di bandar dalam tempoh lebih dari 20 tahun.

Antara pelabur utama TRX adalah Kumpulan Lendlease dari Australia, Kumpulan Mulia dari Indonesia, HSBC Malaysia, Affin Bank, CORE Precious Development Sdn Bhd, Veolia, Kumpulan IJM dan Prudential Malaysia.

TRXC dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan Malaysia dan merupakan pemaju induk Tun Razak Exchange (TRX), Hab Kewangan Antarabangsa Malaysia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI