PETALING JAYA – “Seburuk-buruk anak, tetaplah anak. Pedulikan kata-kata orang. Semoga bahagia selalu”.
Itu antara komen yang ditinggalkan netizen terhadap video yang dikongsikan pelakon, Abby Abadi yang memperlihatkan dia sedang berkumpul bersama keluarga, termasuk dengan anak perempuannya, Marissa Dania Hakim.
Dalam video berkenaan, turut kelihatan suaminya, Muhammad Faizal Zakaria dan keluarga bekas suami iaitu pelakon, Norman Hakim, Memey Suhaiza serta anak-anak mereka yang lain.
Namun apa yang mencuri perhatian, kelihatan Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan, 46, dilihat memeluk sambil mencium pipi Marissa, 19, semasa sesi bergambar bersama ahli keluarga.
Cantik mengenakan jubah berwarna coklat, Marissa juga tidak melepaskan peluang untuk memeluk adik-adiknya, seperti mahu melepaskan rindu dapat berkumpul untuk memenuhi jemputan menikmati promosi ‘buffet’ Ramadan di sebuah hotel terkemuka.
Dalam video sama, turut kelihatan bapanya iaitu pelakon, Norman Hakim duduk di sebelah Marissa dan menyuapnya makanan.
Kasih sayang yang dikongsikan Abby dan Norman terhadap Marissa, sekali gus meruntun hati pengguna Instagram apabila ramai menyifatkan kedua-dua pelakon itu sebagai ibu bapa contoh.
Kata netizen, mana mungkin seorang ibu dan bapa sanggup membenci anak sendiri, selepas terpaksa menelan segala tohmahan masyarakat terhadap Marissa atas kontroversi perkahwinan di Thailand baru-baru ini.
“Mak dan ayah yang hebat. Ini contoh paling baik tetap menyayangi anak mereka. Mereka tahu anak adalah amanah Allah SWT. Tidak kira berapa ramai yang mengecam, mereka tidak kisah betapa buruk di mata manusia, namun tidak di sisi Allah,” kata seorang pengguna Instagram.
“Biasalah, buat salah macam mana pun, anak tetaplah anak,” kata seorang lagi netizen.
“Terharu tengok Abby dan Norman melayan anak mereka (Marissa). Semoga mereka bahagia sampai ke syurga,” ucap netizen lain.
Terdahulu, nama Marissa yang juga merupakan seorang model dan pempengaruh kembali hangat selepas didakwa telah berkahwin secara senyap di Songkhla,Thailand dengan lelaki berstatus suami orang bernama Aslam.
Lelaki tersebut adalah individu sama yang pernah dikaitkan dengan Marissa pada tahun lalu tentang hubungan sulit mereka.
Pada masa sama, kakak ipar kepada Aslam dikenali sebagai Nadiah, mengesahkan adik iparnya sudah berkahwin dengan Marissa pada 27 Disember lalu di Songkhla, Thailand.
Pasangan berkenaan dikatakan mendirikan rumah tangga tanpa pengetahuan isteri pertama Aslam, Misya Mazlan yang ketika itu menunaikan umrah.
Lebih dramatik, pernikahan tersebut juga berlangsung tanpa pengetahuan keluarga Marissa.
Bagaimanapun, sehingga hari ini Abby dan Norman masih kekal mengunci mulut tanpa mengesahkan atau menafikan pernikahan tersebut. – KOSMO! ONLINE