DOHA – Pelumba Aprilia, Maverick Vinales dilihat berdepan masalah untuk menyesuaikan diri dengan jentera baharu RS-GP24 ketika kali pertama turun mengujinya di Litar Antarabangsa Sepang awal bulan ini.
Bagaimanapun, dia mengakui sudah menemui pakej aerodinamik terbaik jentera tersebut yang sesuai dengan gaya tunggangannya sekali gus menyaksikan sesi ujian di Qatar memberikan gambaran yang cukup positif.
Pada sesi ujian hari terakhir kelmarin, Vinales dan rakan sepasukannya, Aleix Espargaro serta pelumba pasukan satelit Aprilia dari pasukan Trackhouse Racing, Raul Fernandez berjaya meningkatkan kepantasan dalam catatan masa.
Pada sesi berkenaan, Vinales berjaya mendapatkan catatan masa terbaik dan dianggap sebagai sebahagian kecil pelumba yang mampu memberikan cabaran serius buat juara dunia, Francesco Bagnaia.
“Pada pandangan saya, ia semakin baik. Apa yang menggembirakan adalah kami sudah menemui pakej aerodinamik yang sesuai untuk jentera.
“Apa yang menakjubkan adalah kami berjaya menyelesaikan masalah yang dihadapi di Sepang dan kami akan memberikan fokus mengenai beberapa isu elektronik kerana jentera ini masih baharu dan saya belum memahami beberapa perkara termasuk brek enjin.
Mengulas mengenai peluang untuk mencabar kejuaraan musim ini, Vinales percaya dia memiliki kemampuan untuk melakukannya, namun mereka perlu melakukan perkara dengan betul untuk separuh pertama perlumbaan musim ini. – AGENSI