fbpx

Masjid utama seliaan Jakim diarah laksana solat hajat demi Palestin esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PUTRAJAYA- Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengarahkan masjid-masjid utama di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mengadakan solat hajat esok demi mendoakan kesejahteraan Palestin yang terus diserang rejim Zionis.

Antara masjid terlibat ialah Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, pada masa sama, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) juga diarah melaksanakan perkara sama di masjid dan surau seluruh Wilayah Persekutuan.

Katanya, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengecam dan mengutuk perbuatan tidak berperikemanusiaan Zionis Israel yang terus melancarkan serangan udara kepada penduduk Palestin khususnya di Rafah.

“Tindakan Zionis Israel adalah biadab serta tidak bertanggungjawab.

“Adalah menyedihkan serangan udara tersebut telah mengorbankan orang awam serta mendatangkan kecederaan termasuk kepada kanak-kanak selain memusnahkan kediaman dan premis awam.

“Ia lebih-lebih lagi ketika umat Islam semakin menghampiri gerbang bulan Ramadan,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Jelasnya, tindakan Zionis Israel mengancam untuk terus melancarkan serangan di bumi Gaza, Palestin ketika menjelangnya bulan Ramadan juga perlu ditentang oleh dunia menerusi tanda sokongan dan solidariti terhadap rakyat Palestin.

“Marilah bersama-sama kita terus bersatu hati berdoa agar Allah memberikan kesejahteraan buat rakyat di Palestin.

“Semoga Allah mempermudahkan segala urusan rakyat Palestin untuk berhadapan dengan kerakusan Zionis Israel,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI