fbpx

Letupan gas: Mangsa letupan menjerit berlumuran darah – Saksi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota polis membawa keluar mayat mangsa yang terkorban dalam kejadian letupan gas di Puchong Utama, Subang Jaya, hari ini. - Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON / KOSMO!

SUBANG JAYA – Seorang saksi kejadian letupan gas di Taman Perindustrian Puchong, di sini, mendakwa sempat melihat mangsa menjerit meminta pertolongan dalam keadaan berlumuran darah.

Mencerita tentang kejadian itu, Chen, 40-an, berkata kejadian tersebut bermula dengan dentuman bunyi yang kuat seakan bom diiringi jeritan meminta tolong dari mangsa.

“Apabila saya lihat di luar, terdapat api manakala ada beberapa pekerja keluar dari kilang terbabit sambil meminta tolong.

“Saya lihat ada orang yang selamat tetapi keadaannya teruk, kaki dia seakan terkena sesuatu dan hancur,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Mengulas lanjut, Chen turut memaklumkan pemilik kilang kimpalan itu turut berada di lokasi kejadian, namun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Situ semua pekerja warga asing, saya difahamkan ada maut. Agak terkejut kejadian ini berlaku, seperti tidak disangka,” katanya.

Sementara seorang lagi saksi dikenali sebagai Liew, tidak menyangka bunyi kuat itu mengorbankan dua mangsa ketika dia berada kira-kira 100 meter dari premis tersebut.

Katanya, dia kemudian terlihat kepulan asap tebal keluar dari premis kilang kejuteraan elektrik tersebut.

“Bunyi dentuman itu sangat kuat dan mengakibatkan beberapa keping atap di kilang itu pecah.

“Ada serpihan atap daripada kilang itu terpelanting sehingga ke hadapan stor yang saya jaga.

“Kereta kawan saya juga retak mungkin terkena serpihan keras akibat letupan di kilang ini,” katanya.

Terdahulu, dua individu meninggal dunia manakala dua lagi dipercaya cedera dalam letupan gas acetylene di sebuah premis di Taman Perindustrian Puchong Utama di sini hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 10.14 pagi berkaitan kejadian itu.

Katanya, seramai 24 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Puchong, BBP Subang dan BBP Cyberjaya dikejarkan ke lokasi kejadian. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI