PETALING JAYA – Semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak menerima Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam sebanyak RM2,000 hari ini.
Turut disalurkan sebanyak RM1,000 kepada semua jawatan utama sektor awam membabitkan polis, bomba, tentera, angkatan bersenjata dan seluruh anggota beruniform.
Selain itu, bayaran insentif RM1,000 juga diberikan kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta tidak berpencen.
Namun, timbul perdebatan dalam kalangan penerima di media sosial apabila ada yang mempersoalkan sama ada bayaran insentif tersebut termasuk Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) tahun ini.
Rata-rata penjawat awam berharap akan ada bantuan khas lain khusus untuk menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri yang dijangka pada pertengahan April depan.
“Bayaran insentif hari ini dah kira untuk raya sekali ka? Atau ini sebagai bonus tahunan untuk penjawat awam dan akan ada bantuan khas kewangan Aidilfitri seperti tahun-tahun lalu?,” soal Izzudin.
“Nak raya nanti akan ada pagi bantuan kah untuk penjawat awam macam selalu? Saya tanya sahaja. Sekurangnya boleh bersedia dari awal,” ujar Zainol.-KOSMO! ONLINE