IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah bahawa menoktahi kemiskinan tegar menjadi tumpuan kerajaan baginda di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030 dengan matlamat mengagihkan kekayaan negeri seadil-adilnya untuk dinikmati oleh setiap rakyat.
Baginda bertitah, bangunan megah mencakar langit tidak memberi makna sekiranya masih ada rakyat yang terpaksa mengikat perut, mencatu makanan dan tidur berbumbung langit.
“Selagi ada rakyat yang miskin, usaha membasmi kemiskinan wajib diteruskan. Agenda menoktahi kemiskinan menjadi salah satu matlamat untuk menjamin kesejahteraan sosial rakyat.
“Menoktahi kemiskinan tegar menjadi tumpuan Kerajaan Beta di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030, dengan matlamat mengagihkan kekayaan negeri seadil-adilnya untuk dinikmati oleh setiap rakyat.
“Usaha pembasmian kemiskinan bukan sekadar memberi fokus kepada peningkatan pendapatan, tetapi turut mengambil kira kualiti dan kesejahteraan hidup; direalisasikan dengan menyediakan jaringan keselamatan sosial yang kukuh serta perkhidmatan penjagaan kesihatan yang baik,” titah baginda di sini hari ini.
Baginda bertitah demikian ketika Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Kedua Dewan Negeri Perak ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Sultan Nazrin bertitah, berdasarkan data eKasih, jumlah kemiskinan tegar yang dikunci pada 31 Januari 2023 ialah seramai 9,402 Ketua Isi Rumah.
“Berdasarkan sumber data yang sama, sehingga 31 Disember 2023, jumlah tersebut telah menurun kepada 3,911 Ketua Isi Rumah, menunjukkan penurunan 58 peratus. Penurunan angka kemiskinan tegar ini disumbangkan oleh pelbagai faktor termasuk usaha dan inisiatif oleh pentadbiran daerah serta semua agensi pemberi bantuan yang memberikan komitmen yang tinggi.
“Semoga melalui kerjasama proaktif dari pelbagai pihak, merangkumi sokongan daripada badan-badan bukan kerajaan, tidak ada rakyat Beta yang terpinggir daripada menikmati hasil kemakmuran negeri,” titahnya.
Titah Sultan Nazrin, dalam usaha memakmurkan negeri, perlu diberikan perhatian kesalingan hubungan kesihatan dan penentu sosial kesihatan yang membentuk kesejahteraan rakyat.
Baginda bertitah, kesihatan yang baik bukan sekadar ketiadaan penyakit, tetapi keadaan holistik yang merangkumi kesejahteraan fizikal, mental dan sosial.
“Perlu disedari health outcomes tidak ditentukan semata-mata oleh perkhidmatan kesihatan yang disediakan, sebaliknya tahap kesihatan seseorang dipengaruhi oleh penentu-penentu lain antaranya, tempat dilahirkan dan tempat membesar, begitu juga suasana hidup, bekerja dan menua.
“Untuk membina masyarakat berdaya tahan dan berkembang maju, terutama dalam persiapan menghadapi masyarakat negeri ini yang semakin menua, amatlah penting diberi perhatian kepada penentu-penentu sosial kesihatan,” titahnya. – KOSMO! ONLINE