fbpx

Harga beras ditentukan petang ini – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan membuat keputusan berhubung harga beras dalam Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang berlangsung petang ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan membuat keputusan berhubung mekanisme harga beras di samping melihat barangan keperluan asas rakyat.

Beliau berkata, sebarang keputusan mestilah datang daripada kerajaan, namun tidak menghalang mana-mana pihak memberi pandangan.

“Itu (beras) mesyuarat petang ini. Sebenarnya bukan soal beras sahaja sebab inisiatif itu dibuat termasuklah jualan ayam, daging, sayur dan ikan pada harga lebih murah.

“Tapi pengumuman harga beras, mestilah pengumuman kerajaan. Kalau ada cadangan tersendiri, itu negara demokrasi boleh. Tapi tidak merupakan keputusan. Kerajaan akan buat keputusan petang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Tun Razak Exchange sebagai Pusat Kewangan Antarabangsa Malaysia di Menara Exchange 106 di sini, hari ini.

Petang ini, Anwar dijangka mempengerusikan Mesyuarat Khas NACCO bagi membincangkan isu kos sara hidup terutama bekalan beras.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam kenyataannya turut menjelaskan kerajaan belum memutuskan pengenalan satu gred beras putih dikenali beras putih Malaysia Madani seperti diumum Ketua Kluster Makanan NACCOL, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.

Pengumuman Syed Hussin berhubung penjualan beras putih Malaysia Madani berharga RM30 bagi kampit 10kg mulai 1 Mac ini, menggantikan beras putih tempatan (SST) dan beras putih import (SSI) menimbulkan persoalan ramai termasuk dalam kalangan pemain industri peruncitan.

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata, Kementerian Pertahanan akan melaporkan berhubung isu peletakan jawatan tiga pegawai kanan pengurusan Lembaga Tabung Angkatan Tentara (LTAT) kepada Jemaah Menteri.

“Itu sedang dikendalikan Menteri Pertahanan, dan akan dilaporkan kepada Kabinet,” katanya.

Terdahulu, tiga pegawai kanan pengurusan LTAT meletakkan jawatan mereka sejak sebulan lalu dalam tabung persaraan untuk 120,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu.

Isu terbabit bermula apabila Ketua Eksekutifnya, Datuk Ahmad Nazim Abd. Rahman mengumumkan pengundurannya berkuat kuasa 31 Januari lalu.

Kemudian, Pengerusi LTAT, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor pula mengumumkan peletakan jawatannya seminggu kemudian.

Yang terbaru, Pengarah Kanan Strateginya, Dayana Rogayah Omar turut dilaporkan mengemukakan surat peletakan jawatannya itu bagi mengejar kepentingan lain. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI