KUALA LUMPUR – Pegawai perubatan yang diarah bertugas pada hari Sabtu dan Hari Kelepasan Am layak menuntut Elaun Lokum pada kadar RM80 sejam.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, bayaran tersebut akan dibuat serta-merta.
“Timbul isu bayaran elaun untuk doktor yang membuat lokum (kerja lebih masa), saya perhatikan ramai yang memohon dan baru sahaja (Kementerian Kesihatan) mendapat kelulusan untuk doktor-doktor yang membuat lokum dibayar elaun RM80 sejam.
“Itu adalah satu berita baik yang saya bendak sampaikan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan IHH Healthcare Malaysia di sini, hari ini.
Sementara itu pegawai perubatan yang bertugas pada hari Ahad membabitkan waktu bekerja mulai pukul 9 pagi hingga 1 tengah hari, boleh menuntut cuti gantian tertakluk kepada kelulusan ketua jabatan.
Terdahulu, KKM dalam kenyataan berkata, pelaksanaan projek rintis pemanjangan waktu operasi klinik berdekatan hospital pada tahun lalu telah diteliti dan permohonan untuk meneruskan pembayaran Elaun Lokum menjadi pertimbangan agensi pusat.
Menurut kenyataan KKM projek rintis tersebut, telah dilaksanakan bermula 25 Mac hingga 31 Disember tahun lalu, selepas mengambil kira isu kesesakan di hospital.
“Dalam tempoh ini, pegawai perubatan yang bertugas pada hari Ahad diberi kelulusan khas secara bertempoh dalam projek rintis, bagi membolehkan Elaun Lokum dibayar sekiranya mereka diarah bertugas secara lokum.
Selain itu, pegawai farmasi dan juru X-ray dalam kumpulan pengurusan dan profesional juga diberi pemanjangan Elaun Lokum pada kadar yang berbeza,” menurut kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE