PETALING JAYA – Dua individu meninggal dunia, manakala dua lagi cedera dalam insiden letupan gas acetylene di sebuah premis di Taman Perindustrian Puchong Utama di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan pukul 10.14 pagi berkaitan kejadian itu.
Katanya, seramai 24 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Puchong, BBP Subang dan BBP Cyberjaya dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Apabila tiba di lokasi, didapati letupan melibatkan gas acetylene di sebuah kedai.
“Pemeriksaan mendapati terdapat empat orang mangsa yang terlibat iaitu dua meninggal dunia manakala dua lagi cedera,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, kerja-kerja ventilasi sedang dilakukan untuk mengeluarkan gas yang masih berada di dalam kedai.
“Pihak Kementerian Kesihatan turut berada di lokasi.
“Sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari masa ke semasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE