SEBERANG PERAI – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) menggunakan empat kaedah mencari dan menyelamat (SAR) seorang anggotanya yang dikhuatiri lemas ketika sedang menguji enjin bot (kevlar) di Jeti Pangkalan Marin JBPM Mak Mandin, Sungai Perai di sini, malam tadi.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) menggunakan teknik selaman, pencarian permukaan menggunakan penarik dasar selain khidmat dua anjing pengesan (K9) bagi meluaskan ruang pencarian mangsa, Mohd. Izwan Illias, 42.
Menurutnya, penggunaan dron turut dapat membantu mengesan kedudukan mangsa di lokasi kejadian.
“Operasi mencari mangsa ini diperluas sehingga satu kilometer menyusur sehingga ke hilir dan 500 meter ke hulu sungai dari mangsa dilaporkan terjatuh.
“Setakat ini, seramai 50 anggota terlibat dalam operasi mencari manakala sembilan bot milik JBPM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) digunakan bagi tujuan ini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, keadaan sungai yang berlumpur selain permukaannya yang dipenuhi sampah sarap antara halangan buat pasukan yang menjalankan operasi mencari mangsa.
“Anggota penyelam bagaimanapun tetap dapat menjalankan operasi dengan efektif kerana kesukaran itu sudah dijangka, namun arus deras turut menjadi halangan utama.
“Dari pukul 7.30 sehingga 11 pagi tadi, anggota menjalankan aktiviti mencari dengan menyelam, namun dihentikan susulan keadaan sungai yang tidak sesuai.
“Kita akan fokuskan tiga kaedah lain untuk meneruskan operasi pencarian dan diharapkan mangsa dapat ditemui segera,” katanya.
Mengulas mengenai tragedi itu, Nor Hisham berkata, kejadian berlaku ketika mangsa sedang menambat bot pasukan di jeti berkenaan selepas selesai menguji enjinnya.
“Selain mangsa, terdapat seorang lagi rakan setugas yang sedang mengemas barangan di stor berhampiran sebelum terdengar mangsa menjerit namanya.
“Rakannya mendapati mangsa sudah tiada dalam bot lalu terus melakukan kerja awal pencarian selama kira-kira 20 minit dan menghubungi pusat kawalan selepas gagal menemui mangsa.
“Walaupun mangsa merupakan pengendali bot serta tidak fobia air, namun saya dimaklumkan keupayaannya amat terbatas,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan seorang anggota bomba dikhuatiri lemas ketika melakukan kerja menyelenggara bot di Jeti Pangkalan Marin di Mak Mandin, malam tadi. – KOSMO! ONLINE