PETALING JAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyifatkan pemberian Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) memberi ‘kelegaan’ kepada para penjawat awam.
Presidennya, Datuk Dr. Adnan Mat berkata pemberian insentif sebanyak RM2,000 itu menbantu meringankan beban penjawat awam terutamanya menjelang sesi persekolahan baharu serta persiapan Ramadan.
“Minggu sesi pembukaan sekolah dan sambutan Ramadan yang serentak sudah pasti menimbulkan kegusaran mengenai kos perbelanjaan yang dijangka lebih tinggi.
“Sudah pasti ramai yang tidak sempat untuk membuat simpanan yang mencukupi apatah lagi pada bulan berikutnya Aidilfitri turut akan disambut.
“Justeru, Cuepacs menasihatkan penjawat awam untuk berbelanja berhemah dengan mengutamakan keperluan yang sepatutnya. Jumlah tersebut tidak dinafikan memberi sedikit kelegaan kepada para ibu bapa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Adnan Mat turut menyeru semua kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan badan-badan berkanun untuk turut sama memberikan bayaran insentif awal selari dengan surat edaran Jabatan Perkhidmatan Awam sebelum ini.
Menurutnya, pemberian insentif seumpama ini boleh dijadikan sebagai inisiatif kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan badan berkanun menjaga kebajikan warga pekerja.
“Semua kerajaan wajar memanjangkan pemberian insentif ini kepada pihak berkuasa tempatan dan badan-badan berkanun negeri seperti mana yang dilakukan oleh negeri Selangor,” katanya.
Dalam pada itu, Adnan juga meminta kerajaan untuk menyegerakan Kajian SSPA untuk memuktamadkan kenaikan gaji penjawat awam.
Katanya, ia ekoran ramai dalam kalangan penjawat awam tidak lagi mampu menghadapi kos sara hidup yang tinggi ketika ini berbanding kedudukan gaji semasa.
“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah memaklumkan bahawa laporan akhir kajian SSPA dijangka selesai dalam tempoh dua bulan dan tidak mahu lengah-lengahkan lagi pelaksanaannya.
“Cuepacs berharap komitmen yang dinyatakan oleh Perdana Menteri mampu ditunaikan segera dan tidak berlanjutan sehingga ke tahun hadapan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE