JAKARTA – Seorag dukun ganda wang yang memperdaya mangsanya supaya memberikan duit sebanyak 300 juta rupiah (RM91,885) akhirnya ditangkap polis, lapor laman berita Tribun Trends hari ini.
Mangsa, Nur Hikmah pada awalnya dibawa oleh rakannya untuk menemui dukun yang didakwa boleh menggandakan wang tersebut di Pekalongan, Pulau Jawa, baru-baru ini.
Dukun itu dikenali sebagai Gus Abin, 35, dan dia dibantu oleh Sukriyanto, 58.
Ketika ritual menggandakan wang dilakukan di rumah Nur Hikmah, wanita itu diminta menyediakan wang tunai sebanyak 300 juta rupiah dan dimasukkan ke dalam beg.
Dalam masa sama, Gus Abin berjanji akan menggandakan wang itu menjadi 3 bilion rupiah (RM918,854).
Setelah ritual itu selesai, mangsa bersama rakannya keluar untuk makan dan sejurus kembali, dia mendapati si dukun dan wangnya telah lesap.
Setelah ditangkap polis dan disoal siasat, Gus Abin mengaku menggunakan wang itu untuk membeli sebidang tanah dan berfoya-foya. – AGENSI