SHAH ALAM – Pelakon Shakilla Khoriri akhirnya lembut hati memberi keizinan kepada bekas suaminya, Fizi Ali untuk bertemu dan membawa anak mereka, Ameena Sofia untuk tinggal bersama selama empat hari setelah hampir tiga bulan tidak berjumpa.
Tidak pernah berniat untuk memisahkan anak dan bapa, Shakilla atau nama sebenarnya Nurul Shakilla Mohd Khoriri mengakui berasa gembira kerana Fizi akhirnya menyatakan hasrat untuk bertemu dengan Ameena.
“Saya gembira apabila Fizi beritahu hendak jumpa anak. Insya-Allah dia akan ambil Ameena selama empat hari bermula 1 Mac depan.
“Saya sebagai seorang ibu memang beri sahaja Fizi ambil. Lagi cepat dia ambil pun tidak mengapa. Saya pun tidak mahu lebih ramai yang terkesan dengan keadaan ini,” kata Shakilla kepada Kosmo! Online selepas sebutan pertama kes tuntutan hadhanah (hak penjagaan anak) di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, di sini, hari ini.
Bintang drama Bisik Bisik Gelora sebenarnya berhasrat membawa Ameena ke mahkamah untuk bertemu dengan Fizi pada hari ini terpaksa melupakan niat tersebut kerana enggan meletakkan Ameena dalam situasi yang tidak mengizinkan.
Ujarnya, memberi keizinan kepada Fizi untuk bertemu dengan Ameena juga adalah bagi memastikan kesihatan mental anaknya sentiasa berada dalam keadaan yang baik.
“Kalau ikutkan hari ini saya nak bawa Ameena jumpa dengan bapanya namun keadaan ini tidak bersesuaian dan kurang bagus untuk dia yang sangat muda dan baru berusia lima tahun. Dia tak perlu tengok keadaan ini.
“Saya buat ini untuk menjaga kesihatan mental Ameena sebab saya tak mahu dia terkesan dengan keadaan yang berlaku disebabkan kesalahan ibu dan ayahnya sendiri.
“Apa yang boleh saya cakap keputusan ini untuk anak saya. Sekarang saya tak kisah orang lain,” katanya lagi.
Hari ini, atas budi bicara pihak plaintif dan defendan, Fizi berjaya mendapat kebenaran untuk berjumpa dengan Ameena membawa anaknya tinggal selama empat hari bermula 1 Mac depan.
Mahkamah juga menetapkan 19 Mei sebagai tarikh sebutan semula kes tuntutan hadhanah difailkan Fizi terhadap Shakilla berhubung hak penjagaan anak perempuan mereka.
Sebelum ini, Fizi memfailkan tuntutan hadanah kekal itu pada 15 Disember tahun lalu dengan menamakan Shakilla, 35, sebagai defendan.
Fizi meluahkan rasa kesal apabila niatnya untuk berjumpa Ameena semasa majlis graduasi di sebuah tadika pada 11 November lalu tidak kesampaian.
Fizi dan Shakilla bernikah pada 18 Januari 2018 namun mengumumkan perceraian pada Disember 2021.
Fizi kemudiannya mengumumkan sudah menamatkan zaman duda dengan seorang ibu tunggal anak satu yang juga ahli perniagaan iaitu Siti Zulaikha pada 23 Oktober lalu. – KOSMO! ONLINE