KLANG – Lari sejauh 200 meter di lorong tikus sebelum bersembunyi dalam semak antara gelagat pekerja pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba meloloskan diri selepas sebuah kilang di Telok Gong di sini, digempur polis hari ini.
Bagaimanapun usaha itu gagal dengan serbuan bermula pukul 2.30 petang itu berjaya menahan 62 PATI berusia 20 hingga 40-an di kilang memproses barangan logam dan plastik.
Op Bersepadu Pintas dilakukan Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama beberapa agensi berkaitan turut berjaya menyelamatkan tiga lelaki dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan.
Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, operasi itu dilakukan hasil maklumat risikan pihaknya dan kes disiasat mengikut Seksyen 55B, Seksyen 39B, Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.
“PATI termasuk tujuh wanita itu melibatkan warga China, Myanmar, Indonesia, Kemboja, Bangladesh, Nepal dan Vietnam. Salah seorang lelaki Indonesia berusia 21 tahun yang diselamatkan polis mendakwa terpaksa bekerja selama 12 jam sehari. Bayaran RM75 sehari sahaja,” katanya di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE