fbpx

Pak belang makin berani ‘masuk’ surau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MURAS menunjukkan kawasan surau di Pos Brooke yang didakwa menjadi tempat persinggahan harimau belang.

GUA MUSANG – Penduduk Orang Asli di Tanah Tinggi Lojing di sini bimbang akan keselamatan mereka selepas seekor harimau belang dilihat berkeliaran di kawasan rumah dan surau di Pos Brooke di sini sejak dua minggu lalu.

Sebelum ini, seekor anjing peliharaan penduduk Kampung Jedip di sini dijumpai mati dalam keadaan tragis dengan kepala dan telinga terputus dipercayai dibaham harimau ekoran pe­nemuan kesan tapak kaki haiwan itu.

Penduduk Orang Asli, Asan Asoi, 40, berkata, sebelum ini dia pernah melihat kelibat pak belang di kawasan surau berhampiran pejabat dan kuarters Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

Menurutnya, dalam kejadian pada pukul 7 pagi, 13 Februari lalu itu, seekor harimau belang dilihat melompat keluar melalui pagar surau berkenaan.

“Saya terkejut melihat seekor harimau melompat dari surau sebelum menghilang di kawasan belukar berhampiran. Haiwan itu mungkin menum­pang tidur di kawasan surau pada waktu malam sebelum kembali ke hutan pada waktu pagi,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung Orang Asli Pos Brooke, Murad Mat memberitahu, dia menge­tahui tentang kehadiran harimau belang tersebut selepas dikongsi penduduk melalui kumpulan WhatsApp.

Katanya, kemunculan haiwan itu memberi ancaman kepada nyawa penduduk dan binatang peliharaan mereka.

“Dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini kami kerap berdepan ancaman harimau belang dan gajah liar yang berkeliaran di kawasan perkampungan.

“Kami berharap pihak berwajib terutama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara dapat membantu penduduk dalam mena­ngani masalah haiwan liar yang kawasan penempatan Orang Asli di sini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI