PARIS – Kemenangan ke atas Stade Rennais, awal pagi esok sangat penting untuk memberikan kelegaan buat pengendali AC Milan, Stefano Pioli yang kini dihimpit kritikan selepas alami kekalahan kepada Monza Isnin lalu.
Berdasarkan keputusan aksi pertama, Milan memiliki peluang lebih cerah untuk ke pusingan 16 pasukan terbaik apabila memperoleh kemenangan 3-0 dan kemaraan kali ini turut akan memulihkan reputasi Pioli.
“Kedua-dua pertandingan (Serie A dan Liga Europa) perlu menjadi motivasi buat kami. Kedudukan ketiga dalam liga masih belum cukup baik dan sekarang kami perlu tebus setiap aksi kurang baik sebelum ini,” katanya.
Selepas harungi 25 perlawanan, Milan kini berada di tempat ketiga Serie A dengan 52 mata, kurang dua mata berbanding Juventus, manakala Inter Milan dilihat sudah terlalu jauh di puncak liga dengan 63 mata.
Kemenangan selesa pada perlawanan pertama sebelum ini menjadikan Milan sebagai pilihan untuk memenangi perlawanan kami ini dan masih relevan untuk dianggap sebagai salah satu kelab besar di pertandingan Eropah.
Pioli juga tidak begitu bimbang dengan kualiti dimilikinya khususnya di barisan pertahanan selepas bolos empat gol pada pertemuan dengan Monza.
“Kami perlu buktikan apabila kami bekerja secara berpasukan, kami mampu melakukan tugasan bertahan dengan baik. Perkara inilah yang kami perlu lihat sekarang dan kami kena baiki untuk elak bolos lebih banyak,” katanya. – AGENSI