BANGI – Kerajaan akan meneruskan kempen ‘Jom Beli Produk Hijau’ pada tahun ini bagi menggalakkan rakyat Malaysia untuk membeli dan menggunakan produk hijau.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kesinambungan program tersebut juga selepas penganjurannya tahun lalu mendapat sambutan daripada orang ramai.
“Pada tahun lalu, kita lancar kempen ‘Jom Beli Produk Hijau’ pada September hingga Disember 2023 yang mana mencapai jualan lebih RM250,000 dengan kira-kira 3,000 produk barangan hijau dijual.
“Banyak juga Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana terdiri dalam kalangan penjual (terlibat). Bagi kita ini usaha positif sebab kerajaan pun ada dasar dan perolehan hijau,” katanya kepada media pada penyampaian hadiah kempen ‘Jom Beli Produk Hijau’ di Malaysian Green Technology And Climate Change Corporation di sini hari ini.
Nik Nazmi berkata, kempen jualan tersebut turut memberi pendedahan kepada syarikat-syarikat kecil yang menjual produk barangan hijau kepada pasaran lebih besar.
“Jadi kemahiran mereka ditingkatkan, selain dapat memperoleh keuntungan yang kemudiannya dikitar semula sekali gus menjadi syarikat lebih besar,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Nik Nazmi berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mempunyai kekangan untuk memperjelaskan isu kejatuhan ringgit di Parlimen pada sidang minggu depan.
“Saya ingat kenyataan telah dibuat oleh Bank Negara Malaysia (BNM) yang jelas dan untuk perkara ini, mana-mana Ahli Parlimen boleh masukkan dalam perbabahsan mereka dalam Parlimen.
“Kerajaan akan jelaskan, tapi Gabenor BNM telah pun jawab, jawapan dia sangat terang disitu. Perlu atau tidak, kena tanya mana-mana Ahli Parlimen.
“Sebab kita ada sistem Parlimen yang terbuka dan ini pertama kali kita ada Perdana Menteri yang ada PMQT (Waktu Pertanyaan Perdana Menteri) setiap minggu. Jadi nak tanya soalan dan sebagainya itu, saya rasa tidak ada kekangan,” katanya.
Nik Nazmi berkata demikian mengulas gesaan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang meminta Anwar memberi penjelasan mengenai kedudukan ringgit pada sesi Parlimen yang akan bersidang minggu depan.
Hassan dipetik berkata, penjelasan tersebut penting bagi memberi gambaran sebenar kepada rakyat. – KOSMO! ONLINE