fbpx

Jurujual didenda RM2,000 buat laporan palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jia Shun dikenakan hukuman denda RM2,000 oleh Mahkamah Sungai Siput hari ini selepas mengaku bersalah membuat laporan polis palsu, dua minggu lalu.

SUNGAI SIPUT – Tindakan seorang jurujual kedai peralatan lampu membuat laporan palsu kononnya disamun membawa padah apabila didenda maksimum RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Tertuduh, Khiu Jia Shun, 40, juga berdepan hukuman penjara empat bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Hukuman itu dikenakan ke atasnya selepas membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nurul Asyifa Redzuan.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada seorang anak itu didakwa memberikan maklumat secara bertulis yang palsu sehingga menyebabkan pegawai penyiasat polis melakukan siasatan yang sepatutnya tidak dilakukan di pejabat pegawai penyiasat bahagian siasatan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput pada pukul 1 tengah hari, 9 Februari 2024.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R. S. Vitthiyeswary manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Hajar Hamzah.

Terdahulu, Vitthiyeswary memohon hukuman denda yang tinggi dikenakan terhadap tertuduh berikutan alasannya membuat laporan palsu berkaitan kejadian samun itu disifatkan sebagai tidak munasabah.

Bagaimanapun, Siti Hajar dalam rayuannya memohon tertuduh dikenakan hukuman denda minimum atas alasan lelaki itu mempunyai tanggungan seorang isteri dan anak berusia 12 tahun serta ibu bapa yang uzur.

Menurut beliau, tertuduh yang kini menetap di Johor itu bekerja di sebuah kedai peralatan lampu dengan pendapatan bulanan sebanyak RM3,000.

Mengikut fakta kes, lelaki itu mendakwa wang kedai berjumlah RM10,000 telah disamun dua lelaki bermotosikal ketika berada di tepi Jalan Kemiri, Sungai Siput berhampiran sebuah kilang.

Hasil soal siasat mendapati, kejadian samun tersebut tidak berlaku sebaliknya wang yang didakwa dilarikan dua lelaki tidak dikenali itu sebenarnya telah digunakan tertuduh bagi membuat persiapan Tahun Baharu Cina. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI