fbpx

Fizi harap selesai, Shakilla tak cukup tidur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FIZI ALI dan Shakilla Koriri hari ini hadir ke mahkamah bagi perbicaraan tuntutan hak penjagaan anak mereka, Ameena Sofea.

SHAH ALAM – Penyampai radio dan pengacara, Fizi Ali berharap kes tuntutan hadhanah terhadap bekas isterinya, Shakilla Khoriri berhubung hak penjagaan anak perempuan mereka dapat diselesaikan hari ini.

Fizi atau nama sebenarnya Mohd. Hafizudin Alimudin, 37, selaku plaintif berkata, dia hanya mahu anaknya, Ameena Sofia mendapat kehidupan normal seperti kanak-kanak lain yang mendapat kasih sayang daripada kedua-dua ibu bapa.

“Harapan saya ialah semuanya dapat diselesaikan hari ini.

“Saya cuma mahu Ameena mendapat kasih sayang yang seimbang daripada ibunya dan saya sebagai bapa. Kalau dapat selesai hari ini, sangat lega,” katanya kepada Kosmo! Online di pekarangan Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, di sini, hari ini.

Fizi yang tiba sekitar pukul 9.20 pagi itu turut ditemani isteri baharunya, Siti Zulaikha dan peguam syarie, Nur Husniah Husin.

Sementara itu, Shakilla yang tiba di mahkamah sekitar pukul 9.25 dan enggan memberi kenyataan lanjut namun sempat mengadu tidak mendapat tidur yang mencukupi.

“Saya okey cuma tak cukup tidur,” ujarnya.

Pada 22 Januari lalu, mahkamah menetapkan kes tuntutan hadhanah yang difailkan Fizi terhadap Shakilla berhubung hak penjagaan anak perempuan mereka akan diteruskan dengan perbicaraan berikutan kedua-dua pihak gagal mencapai kata sepakat atau penyelesaian pada prosiding Sulh yang dijalankan.

Fizi sebelum ini memfailkan tuntutan hadanah kekal pada 15 Disember tahun lalu dengan menamakan Shakilla, 35, sebagai defendan.

Fizi meluahkan rasa kesal apabila niatnya untuk berjumpa Ameena semasa majlis graduasi di sebuah tadika pada 11 November lalu tidak kesampaian.

Fizi dan Shakilla bernikah pada 18 Januari 2018 namun mengumumkan perceraian pada Disember 2021. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI