MANCHESTER – Taikun petrokimia British, Sir Jim Ratcliff akhirnya disahkan sebagai pemegang suku daripada saham untuk kelab Manchester United secara rasmi menerusi syarikatnya, INEOS.
INEOS dan Ratcliffe membayar sebanyak £1.3 bilion (RM7.9 bilion) untuk mendapatkan sebanyak 27.7 peratus pegangan saham kelab berkenaan dan berkemungkinan ia mampu meningkat sehingga hampir 30% menerusi tambahan dana sebanyak £238 juta (RM1.44 bilion).
Pengumuman rasmi tersebut menyaksikan Ratcliffe dan pasukannya akan ditugaskan mengawal segala operasi berkaitan bola sepak kelab tersebut dan mengambil alihnya daripada Keluarga Glazer.
“Untuk menjadi sebahagian daripada pemilik Manchester United adalah satu penghormatan besar dan ia merupakan tanggungjawab yang berat.
“Urusan yang berjaya dimuktamadkan ini sebenarnya adalah permulaan perjalanan untuk menjadikan Manchester United kembali menjadi kelab utama di England, di Eropah dan di dunia dengan fasiliti hebat untuk para peminat.
“Segala kerja dan usaha keras bagi mencapai semua itu akan bermula hari ini,” kata Ratcliffe.
Susulan urusan pengambilalihan tersebut yang berjalan dimeterai, Ratcliffe sudah merancang untuk melakukan beberapa perubahan drastik terhadap beberapa penjawatan utama dan dianggap penting untuk United
Beliau dilapor bakal melantik bekas ‘mastermind’ Manchester City, Omar Berrada sebagai ketua pegawai eksekutif baharu kelab itu menggantikan Richard Arnold yang memiliki rekod yang cukup baik terutama dalam urusan mendapatkan khidmat Jack Grealish dan Erling Haaland di Etihad.
Selain itu, Ratcliffe juga merancang untuk mendapatkan ‘pakar’ bola sepak England, Dan Ashworth yang kini sedang berkhidmat di Newcastle United untuk dilantik ke jawatan pengarah sukan di Old Trafford. – AGENSI