fbpx

El Nino: Kada sedia RM6 juta atasi masalah bekalan air di sawah padi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Faizul (tiga dari kiri) menyampaikan pam 'backward' kepada petani di Pejabat Kada Jajahan Kota Bharu Selatan, Melor di Kota Bharu hari ini. FOTO KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN/KOSMO!

KOTA BHARU – Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) menyediakan peruntukan sebanyak RM6 juta sebagai persediaan awal untuk berdepan kekurangan bekalan air di kawasan sawah padi semasa fenomena El Nino.

Pengurus Besar Kada, Mohd. Faizul Mustafa berkata, perbelanjaan itu melibatkan pelbagai kaedah dan langkah bagi memastikan seluruh kawasan padi di bawah selian agensi tersebut tidak terjejas.

Menurutnya, kaedah yang dilakukan Kada antaranya penyediaan pam ‘backward’ atau mengundur, telaga tiub, pam kitar semula, pam mudah alih termasuk beberapa keperluan lain seperti pembelian bahan api diesel dan petrol.

“Pam ‘backward’ dianggarkan menelan belanja sebanyak RM400,000 termasuk peruntukan tambahan, telaga tiub (RM500,000), kos diesel dan petrol dalam tempoh setahun (RM1.8 juta).

“Bagi pam kitar semula, kita ada banyak lokasi dengan kos yang berbeza. Selain itu, Kada juga menerima peruntukan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan sebanyak RM800,000 untuk pam mudah alih selain membaiki pam yang sedia ada,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Pam Backward di Pejabat Kada Jajahan Kota Bharu Selatan, Melor di sini hari ini.

Terdahulu, Kada mengagihkan sebanyak 25 unit pam ‘backward’ kepada petani-petani yang terlibat di kawasan Kota Bharu Selatan.

Mengulas lanjut, Mohd. Faizul menberitahu, Kada telah melaksanakan persediaan awal sejak Oktober tahun lalu untuk menghadapi fenomena El Nino.

Katanya, langkah-langkah awal yang dilakukan itu termasuk memberi kesedaran kepada petani untuk melaksanakan penanaman mengikut jadual yang ditetapkan.

“Kita menyasarkan sebanyak 4.5 tan metrik padi dihasilkan di kawasan seluas satu hektar setahun pada tahun lalu. Sasaran itu meningkat berbanding 2023 iaitu sebanyak 4.2 tan metrik meskipun hanya 3.9 tan metrik berjaya dikutip.

“Kada dilihat mampu meningkatkan hasil dan mencapai sasaran yang ditetapkan tahun ini menerusi langkah-langkah awal yang dilakukan bagi mengurangkan risiko bila masuk musim kemarau,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI