MELAKA – Sebuah syarikat dan seorang pengarah didenda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menjual 70 peket gula pasir kasar melebihi harga kawalan yang ditetapkan.
Tertuduh, syarikat Keluargaku (M) Sdn. Bhd. dan Lee Mey Eng, 41, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Azaraorni Abd. Rahman sejurus dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan dua kertas pertuduhan, syarikat berkenaan dan tertuduh didapati menawarkan untuk menjual barangan harga terkawal 70 peket gula pasir kasar satu kilogram dengan harga RM3.20 sepeket iaitu selain mengikut harga yang ditentukan pengawal.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 11.40 pagi di premis Keluargaku (M) Sdn. Bhd., No. 35, KPAA 1, Kompleks Perniagaan Al-Azim, Bukit Baru dalam daerah Melaka Tengah pada 8 Mac 2023.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pedakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Norhysham Md. Noor menawarkan jaminan RM100,000 terhadap syarikat dan RM50,000 terhadap pengarahnya.
Kedua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jumlah jaminan dikurangkan.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM20,000 kepada syarikat manakala pengarahnya didenda RM5,000 atau tiga bulan penjara jika gagal bayar. – KOSMO! ONLINE