TANJUNG MALIM – Seorang penunggang motosikal berusia 33 tahun maut apabila terperosok di bawah kereta jenis Nissan dalam kemalangan di Kilometer 379, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan kira-kira pukul 12 tengah malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, maklumat kejadian itu diterima pada pukul 11.14 malam semalam.
“Sebaik sahaja tiba di lokasi, didapati seorang mangsa lelaki berusia 33 tahun terperosok di bawah kereta jenis Nissan.
“Kerja-kerja mengeluarkan mangsa dijalankan dan dapat dikeluarkan tidak lama kemudian.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Punca kemalangan maut ini dan identiti mangsa masih belum diketahui. – KOSMO! ONLINE