JAKARTA – Dua pencuri nekad menggergaji dan mencuri tiang lampu di sebuah taman awam di Jakarta Utara meskipun mereka cuba ditegah oleh beberapa pengunjung, lapor laman berita Kompas hari ini.
Menurut saksi dikenali sebagai Nilam, kejadian itu berlaku sekitar pukul 1 tengah hari (waktu tempatan), Sabtu lepas.
Dia melihat seorang lelaki duduk berhampiran sebatang tiang lampu di taman tersebut. Suspek mengeluarkan sebilah gergaji dan memotong bahagian bawah tiang.
Suspek kemudian memanggil rakan subahatnya sebelum kedua-dua mereka memikul tiang lampu tersebut sambil berjalan dengan tenang.
“Masalahnya kecurian itu dilakukan pada siang hari. Bagaimana mereka sangat berani buat begitu? Kami menjerit ‘pencuri’, namun mereka tetap berjalan dengan tenang sambil memikul tiang lampu,” kata Nilam.
Nilam sempat merakam aksi kedua-dua suspek ketika kejadian.
Berdasarkan tinjauan Kompas di lokasi kejadian, terdapat sembilan tiang lampu yang hilang di taman tersebut.
Sementara itu, Ketua Polis Kelapa Gading, Komisioner Polis Maulana Mukarom berkata, pihaknya sudah memeriksa lokasi kejadian semalam untuk menyiasat kes tersebut.
“Anggota kami sudah memeriksa keadaan di lokasi kejadian dan siasatan sedang dijalankan,” katanya. – AGENSI