GEORGE TOWN – Seorang pemandu van kilang terpaksa menahan kesakitan hampir setengah jam apabila kakinya tersepit pada bahagian hadapan kenderaan itu dalam kemalangan di Jalan Paya Terubong, Relau di sini, pagi tadi.
Mangsa berusia 42 tahun itu dilaporkan mengalami kecederaan patah kaki kanan dalam kejadian melibatkan tiga buah kenderaan termasuk pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan Perodua Viva.
Usaha membawa keluar mangsa dilakukan sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Paya Terubong.
Pegawai Operasi BBP Paya Terubong, Mohd. Zaini Zainuddin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada pukul 9.12 pagi tadi dan kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian mendapati seorang mangsa iaitu lelaki yang merupakan pemandu kenderaan van kilang telah tersepit di ruang pemandu.
“Mangsa berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dan mengalami kecederaan pada bahagian kaki manakala pemandu dua kenderaan
lagi tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya di sini, sebentar tadi.
Menurutnya, mangsa yang cedera kemudiannya dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dengan menaiki ambulans St. John untuk menerima rawatan.
“Kes kemalangan tersebut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 10.13 pagi tadi. – KOSMO! ONLINE