DENGKIL – Seorang pemandu lori yang cedera dibelasah 30 individu di Kampung Baru Dengkil Sabtu lalu mahu polis mengambil tindakan segera terhadap individu yang memukulnya.
Mangsa, Teo Chit Keong, 44, ketika ditemui berkata, ketika kejadian, dia bukan sahaja dipukul, malah turut diugut bunuh dengan senapang.
Katanya, walaupun sudah keluar dari lokap polis petang Isnin lalu, dia mengakui trauma dan bimbang akan diganggu lagi oleh individu berkenaan.
“Saya tinggal berdekatan dengan rumah individu berkenaan. Justeru, saya mahu polis segera mengambil tindakan bagi memastikan keselamatan saya sekeluarga terjamin,” katanya ketika ditemui pemberita di sini malam tadi.
Katanya, dia juga bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang memukulnya itu.
Dalam kejadian pada malam Sabtu lalu, mangsa dipukul 30 individu hanya kerana menegur kenderaan jirannya yang menghalang laluan keluar rumah sehingga mengalami cedera di kepala, hidung dan lebam di muka. – KOSMO! ONLINE