fbpx

Jemaah ambil maklum pakej yang disertai adalah umrah DIY

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SUNGAI BULOH – Pertubuhan Nur AlMustafa Malaysia menafikan program umrah bersama maula yang diadakan pada bulan Disember tahun lalu adalah satu bentuk penipuan yang dilakukan untuk mengaut sebarang keuntungan.

Pengerusinya, Hasnul Hakim Mohd Zain berkata, peserta program tersebut sudah diberikan penjelasan sebelum berangkat bahawa umrah bersama Maula Sayyid Moulay Amine itu akan dilakukan secara ‘do it yourself’ (DIY).

Malah, jemaah juga telah menanda tangan surat kebenaran yang membolehkan mereka turut serta dalam program ziarah DIY ke Mekah, Madinah dan Maghribi itu.

“Sebelum berangkat, kami telah maklumkan pakej ini adalah pakej DIY jadi tiada mutawif kecuali ahli kami yang bakal bertugas untuk memberi khidmat kepada jemaah.

“Kami juga telah memaklumkan jemaah bakal menggunakan visa pelancong kerana kami bukanlah agensi pelancongan dan hanya akan menguruskan jemaah yang berminat sahaja,” katanya dalam sidang akhbar di Madrasah Darul Uloom Al Mustafa (DUAM), Sungai Buloh di sini hari ini.

Bagaimanapun, Hasnul tidak menafikan pihaknya mengalami kesukaran dari segi pengurusan kewangan disebabkan kehendak jemaah sendiri dan juga kos perbelanjaan yang meningkat naik pasca pandemik Covid-19.

Malah, bilangan jemaah yang mencecah 220 orang juga menyukarkan lagi pihaknya yang terpaksa menguruskan segala kehendak jemaah dengan tenaga sendiri.

“Pihak Nur AlMustafa terpaksa ‘berperang’ mendapatkan harga hotel mengikut bajet, tetapi beberapa kali tempahan kami dibatalkan atas sebab permainan harga hotel yang agak tak masuk akal.

“Ini menjadikan semua kos terpaksa dinaikkan antara RM500 hingga RM1500 mengikut pakej masing-masing.

“Ada juga jemaah yang ingin menambah perbelanjaan kos untuk menukar jarak hotel yang lebih dekat dan bilik berdua. Maka, kos akan bertambah mengikut kehendak jemaah,” ulasnya.

Tambah Hasnul, pihaknya tidak pernah membuat kutipan dana awam untuk membina perkampungan Islam ketika membuat sebarang program, termasuklah ketika program umrah tersebut berlangsung.

Menjawab berkenaan dakwaan perjumpaan bersama maula yang hanya berlangsung selama beberapa minit, pihaknya menjelaskan majlis tertutup telah diadakan di sebuah dewan bermula sebelum Maghrib hingga pukul 3 pagi.

“Berkenaan tentatif program yang dinyatakan hanya berjumpa maula beberapa minit itu sama sekali tidak berasas.

“Malah, kami telah mengadakan majlis maulid tertutup di sebuah dewan yang disewa bermula sebelum Maghrib hingga jam 3 pagi.

“Semua bukti video rakaman dan rakaman secara langsung juga telah dibuat dan kesemua jemaah berpuas hati walaupun ada beberapa masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI