KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia menerusi Human Resource Development Corporation (HRD Corp) mencapai rekod terbaik pungutan levi tertinggi sebanyak RM2.2 bilion, tahun lalu.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, pemberian kelulusan geran bantuan kewangan sebanyak RM1.78 bilion dan lebih daripada 2.2 juta tempat latihan turut dicatatkan sejak penubuhannya pada tahun 1993.
Sebagai perbandingan menurutnya, HRD Corp mengutip levi sebanyak RM1.81 bilion, meluluskan lebih RM728 juta tuntutan dana latihan, dan meluluskan 1.15 juta tempat latihan pada tahun 2022.
“Kementerian komited menyediakan program latihan berkualiti kepada semua rakyat Malaysia untuk meningkatkan produktiviti dan ekonomi negara.
“Ini selaras dengan fokus 3K kami untuk meningkatkan Kebajikan, Kemahiran, dan Keberhasilan dalam kalangan pekerja Malaysia,” katanya ketika berucap di Majlis Sambutan Tahun Baru Cina HRD Corp bagi tahun 2024, di sini hari ini.
Majlis berkenaan dihadiri lebih 1,000 tetamu termasuk pemegang taruh HRD Corp, terdiri daripada majikan Malaysia, persatuan industri, jurulatih, penyedia latihan, dan juga media.
Dalam masa sama, Steven Sim turut memberikan mandat kepada HRD Corp untuk menyediakan program latihan kepada masyarakat, khususnya usahawan perusahaan mikro kecil dan sederhana serta individu di kawasan luar bandar.
Katanya, ia bagi memastikan tiada rakyat Malaysia terlepas peluang untuk mendapatkan latihan dan pembangunan.
Sementara itu, Pengerusi HRD Corp, Datuk Abu Huraira Abu Yazid berkata, kejayaan HRD Corp tahun lalu tidak mungkin terjadi tanpa sokongan daripada organisasi lain.
“Sambutan ini juga tanda penghargaan kami kepada setiap majikan berdaftar, penyedia latihan, dan semua pihak berkepentingan atas usaha kita bersama demi menyokong agenda pembangunan negara,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE