PETALING JAYA – Pempengaruh media sosial Ryzal Duriankimchi didenda sebanyak RM10,000 atau enam bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen Miri, Sarawak selepas mempersenda busana tradisional wanita Iban ‘ngepan indu’.
Memetik satu kenyataan, Hakim Azreena Aziz berkata hukuman tersebut dikenakan ke atas Ryzal atau nama sebenarnya Nik Muhammad Ryzal Nik Ibrahim setelah meneliti kesemua aspek termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes serta mengambil kira kepentingan awam.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mohd Fillanny Siji dan dibantu TPR Ahmad Ihsan Jalalludin. Suami kepada pempengaruh juga pelakon Maryam juga itu didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) (ii) Akta Multimedia dan Komunikasi 1998 (Akta 588).
Selain itu, peguam bela Firdaus Morshidi yang mewakili pemilik Ryzal, 31, memohon agar hukuman ke atas anak guamnya diringankan memandangkan ini adalah kesalahan pertamanya.
Namun, pihak pendakwa memohon agar tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai peringatan atau pengajaran kepada masyarakat agar tidak melakukan kesalahan serupa.
Tindakan Ryzal yang tidak menghormati pakaian tradisional kaum Iban bukan sahaja memberi kesan kepada pengadu tetapi keseluruhan masyarakat Iban.
Sebelum ini, sebanyak 27 laporan polis yang dibuat terhadap Ryzal berhubung kejadian menghina telah dikemukakan pihak pendakwaan untuk diterima pakai sebagai bahan bukti mahkamah.
Pada 27 Mei 2021, seorang pengadu membuat laporan polis dengan mendakwa bapa kepada seorang anak itu mempersendakan pakaian tradisional kaum Iban menerusi laman Facebook.
Ryzal yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan didakwa menyamakan busana ‘ngepan indu’ seperti ‘sementing duit syiling’ yang sepatutnya disimpan dalam poket, ‘tango’ sebagai kain alas peti televisyen, ‘kain kebat atau kain karap’ sebagai kain buruk dan ‘ngepan Iban’ sebagai langsir. -KOSMO! ONLINE