PETALING JAYA – Orang ramai dilihat sanggup beratur dan menunggu giliran selama empat jam sebelum dibenar masuk melawat Zoo Melaka sempena kemasukan percuma, hari ini.
Kemasukan percuma itu adalah sempena Tarikh Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu yang pertama sekali gus merupakan cuti umum baharu bagi rakyat Melaka.
Tinjauan Kosmo! di platform media sosial mendapati, rata-rata pengunjung berkongsi pengalaman mereka yang hadir seawal pukul 7.30 pagi lagi membawa keluarga masing-masing meskipun pintu dibuka dua jam kemudian.
“7.30 dah tunggu depan pintu Zoo Melaka. Alhamdulillah elok sahaja pintu dibuka jadi kumpulan pertama dapat masuk. Merasa anak-anak melawat zoo. Suami sanggup ambil cuti nak bawa kami lima beranak lawat Zoo Melaka,” kongsi Azidah di Facebook.
“Berlecak ketiak beratur empat jam nak tunggu dapat masuk. Dari pukul 10 pagi smpai, dekat pukul 2 petang baru dapat masuk. Orang ramai betul hari ini. Bertabahlah yang masih beratur tu,” kata Mohd. Zaki.
Terdahulu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, Zoo Melaka adalah antara 10 lokasi pelancongan utama yang menawarkan tiket masuk percuma terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia sempena cuti umum sehingga pukul 5 petang ini.
Katanya, antara lokasi lain adalah Melaka Wonderland & Themepark, Melaka River Cruise (MRC), Menara Taming Sari dan Malaysia Heritage Studios.
Selain itu adalah, Muzium di bawah Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Balai Cerap Al-Khawarizmi, Taman Laut Melaka, kelab-kelab golf Melaka dan Muzium Penjara Malaysia.
Dalam pada itu, semakan Kosmo! di aplikasi Waze ketika ini, terdapat beberapa laluan sekitar negeri Melaka menujukkan aliran trafik yang tinggi dan sesak dengan pertambahan kenderaan sejak pagi tadi. – KOSMO! ONLINE
@kdputeh Beratur je dah berjam2..sesi pertama zoo buka 2jam..agak2 sempat tak masuk hehe. #melakahawau #visitmelaka2024 #zoomelaka #fyppppppppppppppppppppppp #malaysiatiktok ♬ Banana (feat. Shaggy) [DJ FLe – Minisiren Remix] – Conkarah