fbpx

Tiga penduduk potong tali pinggang keledar, selamatkan OKU lemas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan kereta dipandu Ah Kaw terjunam ke dalam Sungai Terus di Kampung Tandop, Segantang Garam di Merbok, dekat Sungai Petani hari ini.

SUNGAI PETANI – Seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) nyaris lemas selepas kereta yang dipandunya terbabas sebelum terjunam ke dalam Sungai Terus di Kampung Tandop Segantang Garam, di sini hari ini.

Mangsa, Liang Ah Kaw, 70, bagaimanapun sempat diselamatkan tiga penduduk kampung yang melihat kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari tadi.

Lelaki yang kudung kaki kiri dan menggunakan kaki palsu itu turut diberikan rawatan awal sebaik dinaikkan dari sungai sebelum dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini oleh anggota bomba.

Saksi kejadian, Mohd. Fadzil Mahamud, 40, berkata, ketika kejadian dia berada di rumahnya berdekatan sungai sebelum seorang rakan memanggilnya untuk menyelamatkan mangsa di dalam kereta Proton Saga Iswara yang terjunam ke dalam sungai.

“Saya bergegas ke lokasi dan terjun ke dalam sungai bersama dua lagi rakan yang berada di tebing. Ketika itu kereta berkenaan hampir tenggelam, manakala pemandunya didapati tidak sedarkan diri. Kami bertiga terpaksa memotong tali pinggang keledar yang dipakainya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Katanya, dia dan rakannya kemudian menarik mangsa yang tidak sedarkan diri ke tebing dan memberikan rawatan awal.

“Kami bertiga bergilir-gilir menekan dadanya dan kira-kira lima minit kemudian mangsa mula sedar dan mengeluarkan banyak air dari hidung dan mulut,” ujarnya.

Tambahnya, kereta dipandu mangsa dipercayai terbabas ketika mengambil selekoh di kawasan itu sebelum terjunam ke dalam sungai berkenaan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani, Timbalan Penguasa Bomba I, Ismail Mohd. Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 1.13 tengah hari tadi.

“Sebaik tiba, kita dapati mangsa telah berjaya dinaikkan ke tebing dan dalam keadaan separuh sedar. Mangsa kemudian dikejarkan ke HSAH dan pihak kita dengan bantuan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) turut menjalankan operasi pencarian di sekitar lokasi kejadian untuk memastikan tiada mangsa lain terlibat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI