BANGKOK – Thailand bersiap sedia untuk menghadapi gelombang haba ekstrem dengan peta ramalan cuaca merekodkan petunjuk berwarna merah dan menghampiri hitam yang memberi isyarat bahawa suhu panas melampau akan melanda negara berkenaan.
Jabatan Meteorologi Thailand (TMD) meramalkan tahun ini akan menjadi lebih panas berbanding tahun sebelumnya. TMD menjangkakan suhu purata meningkat kira-kira 1.2 darjah Celsius berbanding 2023.
Menurutnya, suhu di sesetengah kawasan bahkan diramal melepasi bacaan 44.5 darjah Celsius.
Lima wilayah yang dijangka terjejas teruk adalah Mae Hong Son, Uttaradit, Sukhothai, Tak dan Udon Thani.
Laporan Ramalan Cuaca Thailand baru-baru ini menunjukkan ramalan suhu panas untuk minggu 19 Februari (semalam) hingga 25 Februari ini, terutamanya pada pukul 1 tengah hari setiap hari.
Carta kaji cuaca itu menunjukkan arah aliran konsisten dari zon merah ke hitam, yang melambangkan keadaan haba yang semakin panas dan ekstrem.
Orang ramai dinasihatkan supaya mengelak melakukan aktiviti luar pada waktu matahari berada tegak di atas kepala dan kekal terhidrat, lapor akhbar Khaosod.
Walaupun orang ramai merasai peningkatan haba yang semakin panas, tempoh peralihan pada penghujung musim sejuk pada bulan ini turut menyaksikan kemungkinan hujan di beberapa wilayah pada minggu depan.
Dalam pada itu, TMD mengeluarkan amaran cuaca buruk untuk 17 wilayah di Thailand.
Bahagian timur Thailand dijangka mengalami ribut petir, dengan 30 peratus kawasan diramal dilanda angin kuat dan kemungkinan hujan batu. – AGENSI