PUTRAJAYA – Bekas Pengerusi Badan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch), R. Sri Sanjeevan mendapat peluang terakhir untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan penahanannya selama 16 hari di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA), sah di sisi undang-undang di Mahkamah Persekutuan di sini hari ini.
Keputusan itu dibuat panel tiga hakim dengan keputusan majoriti 2-1 yang diketuai Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang membenarkan permohonan itu manakala hakim Datuk Rhodzariah Bujang menentangnya.
Mahkamah membenarkan Sri Sanjeevan mengemukakan satu persoalan undang-undang dalam rayuan yang akan ditetapkan pada satu tarikh lain.
Pada prosiding itu, peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar mewakili Sri Sanjeevan manakala Peguam-Peguam Kanan Persekutuan Mohammad Al Saifi Hashim dan Andi Razalijaya A. Dadi mewakili polis dan kerajaan.
Sri Sanjeevan, 39, menyaman pegawai penyiasat Asisten Suprintendan Poonnam E. Keling, Ketua Polis Negara (KPN) dan Kerajaan Malaysia serta mendakwa dia ditahan secara salah oleh Poonnam selama 16 hari antara 10 Julai 2016 dan 26 Julai 2016, selain turut diserang.
Pada 28 Jun 2022, Hakim Datuk Ahmad Bache membenarkan saman sivil Sri Sanjeevan bagi pemenjaraan salah dan mengarahkan ganti rugi am, teladan dan teruk dibayar kepadanya, dengan ganti rugi itu dinilai dalam perbicaraan berasingan yang ditetapkan kemudian.
Mahkamah Tinggi turut memutuskan bahawa penahanan Sri Sanjeevan adalah menyalahi undang-undang dan haknya di bawah Perkara 5 (1) Perlembagaan Persekutuan telah dilanggar oleh Poonnam.
Sri Sanjeevan ditahan kerana didakwa terlibat dalam aktiviti jenayah pada 10 Julai 2016 di bawah POCA dan dihadapkan di hadapan majistret pada hari berikutnya, yang mengeluarkan perintah reman 21 hari.
Sebelum tamat tempoh reman 21 hari, Sri Sanjeevan memfailkan permohonan habeas corpus bagi memastikan dia dibebaskan daripada tahanan.
Dia dibebaskan selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonannya pada 26 Julai 2016 kerana melanggar prosedur mandatori di bawah POCA.
Kemudian pada 15 September 2023, Mahkamah Rayuan memutuskan penahanan bekas aktivis antijenayah itu tidak menyalahi undang-undang selepas membenarkan rayuan pasukan polis dan Kerajaan Malaysia.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk S. Nantha Balan yang bersidang bersama-sama Datuk See Mee Chun dan Datuk Azimah Omar turut memerintahkannya membayar kos RM60,000.
Sri Sanjeevan ditahan selepas polis menerima laporan pelbagai pihak berhubung dakwaan bahawa lelaki itu terlibat dalam aktiviti pemerasan dan ugutan terhadap fizikal, perniagaan atau reputasi pihak tertentu bagi mendapatkan wang perlindungan.
Mahkamah Rayuan dalam keputusannya menyatakan, hakim berkenaan terkhilaf kerana bersandarkan kepada keputusan habeas corpus terdahulu tanpa meneliti alasan-alasan yang dikemukakan oleh pihak polis ketika memohon perintah tahanan reman. – KOSMO! ONLINE