KOTA BHARU – Polis Kelantan mempertingkatkan pemantauan di kawasan pantai di Bachok, Tumpat dan Pasir Puteh untuk mengelakkan kejadian lemas semasa pasca Monsun Timur Laut (MTL).
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, tindakan itu dijalankan sebagai langkah awal keselamatan orang ramai di lokasi yang pantai yang menjadi tumpuan pengunjung.
“Sehubungan itu, pantai-pantai di Bachok, Tumpat dan Pasir Puteh sentiasa dipantau oleh polis terutamanya pada musim cuti persekolahan.
“Cuaca panas ketika ini menjadi antara faktor utama orang ramai lebih memilih untuk beriadah dan mandi di kawasan pantai,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Perhimpunan Bulanan Peringkat Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kelantan dan Mesyuarat Agung Persatuan Keluarga Polis (Perkep) di IPK Kelantan, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Muhamad Zaki memberitahu, beliau sudah mengarahkan semua Ketua Polis Daerah di Kelantan untuk melakukan pemantauan di kawasan berkenaan.
Menurutnya, kawasan pantai di negeri ini tidak selamat untuk mandi berikutan ombak deras dan orang ramai juga perlu peka dengan keselamatan terutamanya bendera merah yang dinaikkan di kawasan pantai. – KOSMO! ONLINE