fbpx

Malaysia sedia kongsi pengetahuan, teknologi bidang akuakultur – Mohamad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad ketika mengadakan pertemuan dengan Qu Dongyu.

PETALING JAYA – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memaklumkan Malaysia sedia berkongsi pengetahuan dan teknologi dalam bidang akuakultur di peringkat antarabangsa.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, komitmen itu dizahirkan selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Qu Dongyu.

Jelasnya, pertemuan dua hala itu diadakan sempena Mesyuarat Regional Conference for Asia and the Pacific (APRC) FAO yang diadakan di Sri Lanka.

“Industri akuakultur di Malaysia merupakan industri yang berkembang pesat dengan prestasi pengeluaran yang amat baik.

“Inisiatif Pintar (Pelaksanaan Dan Pembudayaan Inovasi Nasional Keterjaminan Agromakanan Rakyat) yang telah saya gariskan sewaktu Majlis Amanat 2024 pada Januari lalu juga turut saya kongsikan bersama TYT Qu Dongyu,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, kolaborasi di peringkat antarabangsa merupakan strategi penting yang perlu diberikan perhatian serius bagi memastikan sektor pertanian negara Malaysia tidak ketinggalan.

Terutama katanya, dalam arus perkembangan teknologi dalam mendepani sebarang cabaran terutama perubahan cuaca yang tidak menentu ketika ini.

“Esok saya akan memberikan Kenyataan Negara di dalam Mesyuarat Regional Conference for Asia and the Pacific (APRC).

“Saya akan memfokuskan kepada perkara-perkara yang akan diberikan keutamaan dalam sektor pertanian di Malaysia,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI