fbpx

Kod Etika Wartawan Malaysia tidak kekang kebebasan media

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fahmi ketika gimik Peluncuran Kod Etika Wartawan Malaysia di Kementerian Komunikasi, hari ini. - Foto FAISOL MUSTAPA

PUTRAJAYA – Kod Etika Wartawan Malaysia yang dilancarkan pada hari ini tidak mengekang kebebasan media dan pengamal media di negara ini.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, kos etika wartawan ini telah wujud pada 1989, namun ia kini ditambah baik untuk mendepani cabaran teknologi masa kini.

Beliau berkata, menerusi kod etika yang ditambah baik ini, prinsip kebebasan bersuara akan kekal dipertahankan kerana ia termaktub dalam Perlembagaan.

“Tapi pada masa sama, perlu ada peningkatan kesedaran dan kemahiran dalam kalangan wartawan untuk mendepani zaman termasuk cabaran kecerdasan pintar (AI) dan media sosial,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Kod Etika Wartawan Malaysia, di sini hari ini.

Katanya, kod etika ini membantu pengamal media untuk mendepani zaman teknologi yang semakin mencabar.

Dalam pada itu, Fahmi dalam ucapannya berkata, tidak ada kebebasan yang mutlak bagi mana- mana individu atau organisasi untuk membuat kenyataan yang tidak benar.

“Dalam konteks ini, undang-undang sedia ada memadai untuk memastikan ketenteraman awam tidak terancam. Justeru, pihak wartawan dan organisasi media perlu bertanggungjawab dalam menyebarkan maklumat yang sahih.

“Wartawan juga berperanan menyuburkan kemakmuran serta keharmonian yang didukung melalui nilai Malaysia Madani,” katanya.

Kod etika wartawan ini kali pertama dikemas kini sejak ia diperkenalkan pada tahun 1989 yang memperihalkan tanggungjawab wartawan sebagai suara rakyat.

Antara lapan etika itu termasuk wartawan bertanggungjawab menjadi suara masyarakat majmuk serta ejen pemudah cara dialog, wartawan hendaklah telus dan bertintegriti ketika menjalankan tugas; wartawan digalakkan berusaha secara konsisten untuk adil dalam menyampaikan informasi.

Selain itu, pemberitaan tidak boleh dipengaruhi kepentingan peribadi, kesahihan dan ketepatan maklumat perlu disemak, wartawan perlu menghormati privasi dan kerahsiaan sumber, wartawan perlu memahami undang-undang, akta dan polisi yang berkaitan ruang lingkup tugas mereka dan wartawan perlu beri keutamaan meningkatkan kemahiran kewartawanan secara berterusan.

Setakat 16 Februari 2024, seramai 9,750 pengamal media berdaftar dengan Kad Perakuan Media Jabatan Penerangan (JaPen) melibatkan 152 agensi media di mana empat daripadanya media rasmi kerajaan, 38 media tempatan, 60 Media dalam talian dan 50 media antarabangsa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI