KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cara pemikiran dan amalan lama dalam perbankan serta kewangan Islam perlu berubah bagi memastikan ia kekal relevan dengan peredaran semasa.
Jelas Perdana Menteri itu lagi, masih banyak perlu dilakukan walaupun banyak yang telah dicapai oleh sarjana ekonomi Islam di seluruh dunia dalam membangunkan ekonomi Islam sepanjang lima dekad ini.
“Pelopor kepada ekonomi Islam telah meletakkan asas untuk ekonomi yang mampan dan berasaskan manusiawi serta telah meletakkan agenda berorientasikan tindakan yang mungkin terlalu ke hadapan berbanding zamannya ketika itu.
“Agenda dan rangka kerja yang beretika dan moral dari tahun 1970-an ini kelihatan telah memuncak dan kemudian mendatar tiada perubahan. Akibatnya, sejak 30 tahun yang lalu, ekonomi Islam yang dipromosikan sebagai agenda pembangunan holistik telah dipisahkan daripada kemajuan dalam perbankan dan kewangan Islam.
“Idea dan konsep ekonomi Islam beretika menjadi terkurung di dewan akademik dan ceramah, manakala pendekatan yang terlalu mementingkan fiqh, ini telah membawa kepada dakwaan bahawa ekonomi dan kewangan Islam hanyalah bersifat seperti ‘patchwork’ (tampal cantum). Justeru, cara berfikir dan amalan lama perlu berubah. Kita mesti bersedia untuk menetapkan semula laluan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan ICIEF ke-15 di Sasana Kijang Bank Negara Malaysia, di sini hari ini.
Persidangan ICIEF ke-15 yang bermula hari ini hingga 22 Februari ini menghimpunkan hampir 500 peserta antaranya Pakistan, United Kingdom, Arab Saudi, Maghribi, Turki, Indonesia, Amerika Syarikat, Nigeria, Norway, Jerman dan India. – KOSMO! ONLINE.