PADANG BESAR – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis menyita sembilan motosikal berkuasa tinggi dan enam pikap dari negara jiran kerana disyaki melakukan beberapa kesalahan dengan nilai rampasan termasuk anggaran cukai sebanyak RM1.7 juta sejak Januari lalu.
Pengarahnya, Ismail Hashim berkata, jumlah rampasan motosikal berkuasa tinggi itu bernilai RM416,500, manakala jumlah duti dan cukai terlibat dianggarkan sebanyak RM715,130.50.
“Bagi kes rampasan motosikal berkuasa tinggi berspesifikasi perlumbaan itu, pihak JKDM Perlis pada pukul 5 petang, Jumaat lalu, melakukan pemeriksaan terhadap sembilan motosikal berkuasa tinggi tanpa nombor pendaftaran di lorong masuk pos Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Wang Kelian.
“Antara model yang disita melibatkan Honda CBR 1000RR, BMW S1000RR, Yamaha R1, Aprilia RSV4 dan M.V. Agusta selepas pihak berkuasa mendapati tiada dokumen pembayaran cukai dan permit import yang sah berjaya dikemukakan,” katanya pada sidang akhbar di stor barang rampasan JKDM, di sini hari ini.
Katanya, seorang lelaki yang merupakan wakil syarikat pengangkutan yang juga warga tempatan berusia 37 tahun turut ditahan untuk tujuan siasatan lanjut.
“Modus operandi digunakan adalah membawa masuk motosikal tersebut yang diikrarkan untuk tujuan perlumbaan menggunakan lori pengangkut dan didakwa dalam perjalanan menuju ke Sepang, Selangor.
“Maklumat turut mendapati beberapa buah motosikal itu didakwa dimiliki individu berasal dari Eropah, Hong Kong dan negara-negara lain namun ia menimbulkan keraguan kerana tiada dokumen lengkap seperti nombor casis disertakan bersama,” jelasnya.
Katanya lagi, pihak JKDM negeri sedang melakukan siasatan lanjut daripada segenap sudut sama ada ia berkait dengan aktiviti penyeludupan motosikal berkuasa tinggi dengan rangkaian sindiket antarabangsa atau sebaliknya.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 133(1)(f) Akta Kastam 1967 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak lebih RM500,000 atau penjara tidak lebih tujuh tahun atau kedua-duanya,” katanya. – KOSMO! ONLINE