PETALING JAYA – Nombor pendaftaran kenderaan ‘GOLD 1’ menjadi milik Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, selepas berjaya membidanya dengan nilai tertinggi dalam sejarah negara iaitu sebanyak RM1.5 juta.
Nombor pendaftaran berkenaan adalah Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) siri GOLD sempena sambutan jubli emas Hari Wilayah Persekutuan ke-50 yang dilaksanakan pada 1 Februari hingga 5 Februari ini lalu.
Terdahulu, menerusi Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda berkenan menerima mengadap Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, di Istana Negara hari ini bagi mempersembahkan nombor pendaftaran kenderaan ‘GOLD 1’ kepada baginda secara simbolik.
Menurut hantaran tersebut, Sultan Ibrahim berkenan membayar RM1.5 juta kepada Kerajaan Persekutuan bagi nombor khas itu.
Sebelum ini, Anthony berkata, bidaan bagi NPI siri GOLD dibuat secara dalam talian melalui Sistem JPJeBid bagi orang awam dan keputusan telah diumumkan pada 6 Februari lalu.
Katanya, bidaan bagi siri NPI adalah bertujuan untuk menambah hasil negara iaitu kesemua hasil bidaan kelak akan dimasukkan ke dalam akaun disatukan dengan 50 peratus daripadanya akan dikembalikan semula kepada Kementerian Pengangkutan. – KOSMO! ONLINE