PARIS – Menara Eiffel Tower yang merupakan antara tarikan pelancongan utama di dunia, ditutup hari ini selepas kakitangannya mogok, kata beberapa kesatuan sekerja kepada agensi berita AFP.
Mogok diadakan bagi membantah kaedah pembiayaan kewangan monumen tersebut dan ia berkemungkinan dilanjutkan, kata mereka.
Pegendali Menara Eiffel, SETE menyatakan di laman webnya bahawa lawatan ke monumen itu terganggu hari ini.
SETE juga menasihati pemegang tiket supaya memeriksa laman webnya sebelum hadir atau menangguhkan kunjungan mereka.
Pemegang tiket elektronik (E-tiket) pula diminta memeriksa e-mel masing-masing untuk maklumat lanjut.
Mogok itu adalah yang kedua menjejaskan Menara Eiffel dalam tempoh dua bulan atas sebab sama.
Menara Eiffel menarik kehadiran hampir 7 juta pengunjung pada setiap tahun dengan dua pertiga mereka merupakan pelancong asing. – AFP