“SEBAIK-BAIK manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia lainnya.”
Itu merupakan prinsip hidup yang dipegang erat gadis bernama Daniella Rossellini Saifuzzaman, seorang pelajar jurusan perubatan dan pembedahan di Universiti Malaya (UM).
Berkongsi kepada iGen, gadis berusia 20 tahun itu berkata, dia memilih untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang tersebut kerana minat mendalamnya kepada sistem badan manusia.
Gadis mesra disapa Daniella itu berkata, sejak di bangku persekolahan, dia memang meminati ketiga-tiga subjek kira-kira iaitu Matematik, Matematik Tambahan dan Fizik.
“Saya melihat anatomi manusia sebagai sesuatu yang sangat mengagumkan seperti saiz setiap tulang manusia, bentuk dan lengkungan yang tersendiri. Ia mempunyai keunikan tersendiri berdasarkan fungsi dan lokasinya.
“Kemudian, saya suka buat orang lain terutama kanak-kanak tersenyum dan gembira, walaupun dengan membuat lawak.
“Saya ingin menjadi seorang manusia yang boleh memudahkan urusan orang lain dan berbakti kepada semua orang.
“Maka, menjadi seorang doktor adalah jawapannya.
“Saya percaya bahawa setiap gerak-geri seorang doktor itu diiringi dengan doa dan pahala, selagi mana dia berniat untuk membantu dengan ikhlas,” katanya memulakan bicara.
Berkongsi lanjut, tidak sekadar memfokuskan kepada pelajaran semata-mata, anak jati Kota Bharu, Kelantan itu juga sangat aktif di kampus terutama dalam bidang kepimpinan dan seni bela diri, taekwondo.
Ujarnya, dari segi kepimpinan, dia kini merupakan Timbalan Pengarah projek ASTAR Scrabble Challenge International (ASCI) 2024.
Jadi, dia dan pasukan bertanggungjawab menganjurkan pertandingan serta mengumpulkan pemain ‘scrabble’ dari seluruh dunia.
“Projek ini juga adalah salah satu acara tahunan di UM.
“Selain itu, saya merupakan Ahli Jawatankuasa Tindakan Kolej Kediaman (JTK), Kolej Kediaman Pertama UM sebagai Jawatankuasa Perkembangan Kerohanian dan Perpaduan.
“Meskipun melibatkan diri dalam organisasi-organisasi ini memerlukan komitmen yang tinggi secara berterusan, saya merasakan bahawa ia banyak memberi impak positif kepada kehidupan saya termasuklah memperolehi pengalaman bekerjasama dengan pelajar-pelajar jurusan lain.
“Masing-masing mempunyai cara pemikiran dan personaliti unik yang tersendiri,” katanya.
Ditanya mengenai taekwondo pula, dia yang kini berada di tahun kedua mula menyertai sukan bela diri itu seawal usia lapan tahun.
“Pada mulanya, sewaktu kecil, saya terlihat gambar lama bapa saya memakai baju taekwondo, jadi saya mula menanyakan tentang pakaian itu.
“Bapa saya yang juga pemegang tali pinggang hitam menceritakan pengalamannya dalam sukan itu dan bagaimana ia mengubah kehidupannya.
“Dari situlah, rasa ingin bergiat dalam sukan taekwondo itu lahir dalam diri.
“Saya dan abang saya mula mengikuti latihan taekwondo di Kelab Sara Taekwondo Martial Art, Kota Bharu.
“Ternyata, sukan itu ‘kena’ dengan jiwa kami,” katanya yang turut merupakan pemegang tali pinggang hitam.
Jelasnya, meskipun kehidupan hariannya dipenuhi kelas, ulang kaji, ‘study group’ dan mesyuarat, dia tetap meluangkan masa menghadiri latihan taekwondo sekurang-kurangnya sekali seminggu.
Menutup perkongsian, Daniella berpesan, andai suatu hari terdetik dalam hati anda ingin mencuba sesuatu yang baharu, maka teruskanlah.
Ujarnya, percayalah bahawa kata hati itu hadir bersebab, mungkin itu akan menjadi permulaan kepada sebuah kisah gemilang.
Tambahnya, setiap perjalanan seribu batu pun bermula dengan langkah pertama.