PENYANYI Beyonce membuatkan acara Minggu Fesyen New York (NYFW) bertukar menjadi kecoh apabila hadir menyaksikan majlis pertunjukan fesyen tersebut.
Menurut laporan USA Today, penyanyi berusia 42 tahun itu membuat kemunculan mengejut di acara tersebut semasa pertunjukan fesyen oleh jenama pakaian baharu, Luar milik pereka fesyen Raul Lopez.
Tidak hanya datang sebagai penonton, Beyonce hadir untuk memberikan sokongan buat penampulan sulung anak buahnya, Daniel Julez Smith Jr, 19, sebagai salah seorang model yang beraksi di pentas pertunjukan fesyen itu.
Pelantun lagu Hello itu kelihatan anggun dengan gaya ala ‘cowboy’ dengan mengenakan persalinan blazer berona kelabu, lengkap bertopi dan dipadankan dengan but potongan tinggi.
Penampilan isteri kepada penyanyi rap, Jay-Z itu tampak mewah apabila persalinan yang digayakan turut dihiasi dengan batu permata berkilauan
Tamat acara, Beyonce dilihat bergegas meninggalkan lokasi sambil diiringi pengawal keselamatan menuju ke suatu lokasi.
Penonton dan pengamal media yang turut ada di acara tersebut bersorak dan mengejar Beyonce yang dikawal ketat pengawal.