AMPANG – Mahkamah Majistret di sini melepas dan membebaskan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid daripada pertuduhan mencabul kehormatan isteri rakannya, empat tahun lalu.
Majistret Amalina Basirah Md. Top memutuskan demikian terhadap tertuduh tanpa memanggilnya membela diri selepas berpuas hati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Wan Ahmad Nizam, 58, didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap wanita itu yang ketika kejadian berusia 47 tahun dengan niat mencabul kehormatannya.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di antara pukul 1 pagi dan 5 pagi, 20 Julai 2020 dan 15 Ogos 2020 di ruang bersebelahan bilik tidur utama sebuah rumah di Taman Bukit Melawati, di sini.
Bekas ADUN Air Putih itu didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman.
Wan Ahmad Nizam diwakili barisan peguam diketuai oleh Haijan Omar bersama-sama Nik Zarith Nik Moustpha dan Asyraf Abu Bakar Hamzah manakala pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria.
Bekas ADUN di Terengganu itu dihadapkan ke mahkamah pada 29 Jun 2021 manakala seramai tiga saksi pendakwaan memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula pada 5 Oktober 2022. – KOSMO! ONLINE