fbpx

7 terbunuh pertempuran di Filipina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR fail 3 Disember 2023 menunjukkan askar berkawal di hadapan pintu masuk sebuah gimnasium yang menjadi lokasi pengeboman upacara penganut Katolik di Marawi. – AFP

MANILA – Enam askar dan sekurang-kurangnya seorang pejuang pemisah terbunuh di selatan Filipina, kata jurucakap tentera hari ini ketika pasukan keselamatan memburu pemberontak yang dipercayai mengebom perhimpunan penganut Katholik pada Disember tahun lalu.
Pertempuran berlaku semalam di dalam hutan dekat bandar Munai, Pulau Mindanao kata jurucakap tentera Filipina, Kolonel Louie Dema-ala.
“Pertempuran ini adalah sebahagian daripada operasi memerangi kumpulan Dawlah Islamiyah. Malangnya, kami turut mengalami kemalangan jiwa,” katanya.
Menurut Dema-ala, empat askar Filipina turut cedera, manakala kumpulan lelaki bersenjata yang diburu pula berundur dan meninggalkan mayat rakan seperjuangan yang terbunuh.
Dawlah Islamiyah adalah salah satu daripada beberapa kumpulan bersenjata kecil yang berikrar taat setia kepada pergerakan Daesh.
Mereka mengaku bertanggungjawab meletupkan bom semasa upacara penganut Kristian Katholik di bandar Marawi pada 3 Disember 2023, mengorbankan sekurang-kurangnya empat orang dan mencederakan berpuluh-puluh yang lain.
Tentera Filipina berkata, 10 lagi anggota Dawlah Islamiyah terbunuh pada bulan lalu termasuk ketua pengebom tersebut yang dikenali sebagai Khadafi Mimbesa.
Manila menandatangani perjanjian damai dengan kumpulan pemberontak terbesar di selatan Filipina, Barisan Pembebasan Islam Moro pada 2014 bagi menamatkan pemberontakan bersenjata mereka.
Bagaimanapun, beberapa kumpulan kecil yang menentang perjanjian damai itu kekal beroperasi termasuk pemberontak yang dikaitkan dengan Daesh. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI