PETALING JAYA – Pernah disensasikan dengan kontroversi menghamilkan wanita luar nikah, watak ustaz menerusi drama Cinta Bersemi di Wadi Safiyyah meninggalkan impak besar bahkan dilihat menyelamatkan nama pelakon Aniq Suhair yang sehingga kini mula dipanggil Ustaz Iqbal dalam kalangan peminat.
Menurut Aniq atau Muhammad Aniq Suhair Mohd Salleh, 24, dia tidak pernah menyangka wataknya itu berjaya mendapat tempat dalam hati peminat.
“Sejujurnya rasa terharu dan gembira sebab drama ini beri impak besar terhadap karier sebagai pelakon sehingga mula ada peminat dari Indonesia, Thailand, Brunei dan banyak lagi.
“Saya tak nafikan apabila ke mana-mana sekarang sudah ada yang tegur dan panggil saya sebagai Ustaz Iqbal.
“Memang terharu sebab nama watak diingati walaupun hakikatnya mereka tahu saya bukan seorang ustaz pun,” katanya kepada Kosmo! Online hari ini.
Dalam pada itu, bekas peserta Hero Remaja 2019/2020 mengakui watak Ustaz Iqbal sangat mencabar kemampuannya sebagai seorang pelakon.
Aniq juga tidak menolak sekiranya diberi peluang untuk menjayakan watak sebegitu lagi selepas ini kerana percaya mampu memberi impak positif kepada para penonton.
“Antara cabaran terbesar berlakon sebagai iqbal ialah bagaimana untuk saya warnakan watak ini.
“Iqbal ini terlalu sempurna, baik dan tiada kekurangan jadi saya selalu bertanya dengan pengarah untuk menampakkan dia juga adalah manusia biasa.
“Disebabkan drama ini, saya banyak belajar tentang emosi secara dalaman dan memperbaiki bacaan tajwid al-Quran dengan bimbingan individu yang berkaitan,” katanya yang kini berada di Madinah bagi menunaikan ibadah umrah.
Drama Cinta Bersemi di Wadi Safiyyah yang sudah menamatkan siarannya pada Khamis lalu turut dibintangi oleh Rita Nadira, Zamarul Hisyam, Aidit Noh, Lydiawati dan Zulkifli Ismail.
Naskhah arahan Shuhaimi Zulkefli itu turut tular dalam media sosial sehingga ada yang berharap drama tersebut disambung ke musim kedua. – KOSMO! ONLINE