fbpx

Sultan Nazrin berkenan hadiri majlis sambutan Tahun Baharu Cina negeri Perak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Nazrin (tengah) menggaul yee sang bersama tetamu Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Negeri Perak 2024 di Dataran Warisan Taiping hari ini. - Foto oleh ZULFACHRI ZULKIFLI / KOSMO!

TAIPING – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat menjadi tetamu utama pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Perak tahun ini diadakan di Dataran Warisan Taiping.

Keberangkatan baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Berangkat sama, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Turut hadir ialah Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad serta barisan Exco, kepimpinan dan pentadbiran negeri.

Majlis tersebut bermula sejak pukul 2.30 petang yang dihadiri lebih 1,500 orang ramai walaupun dalam cuaca hujan.

Pelbagai persembahan tradisional masyarakat Cina dipertunjukkan kepada Sultan Nazrin serta para hadirin.

Sementara itu, Menteri Besar Perak ketika menyampaikan sembah ucapan sempena majlis berkata, bagi masyarakat Cina, kehadiran tahun naga yang dianggap sebagai simbol keberanian, kekuatan, keberuntungan, kekayaan dan kejayaan, membawa bersama impian, harapan dan cita-cita untuk mengecapi kehidupan yang lebih makmur dan bahagia.

Oleh demikian, Saarani mengharapkan semua pihak memperteguhkan semangat kebersamaan, mengeratkan ikatan perpaduan menyuburkan nilai kasih sayang sesama rakyat yang dibina selama ini.

“Elakkan perbuatan atau tutur kata yang boleh menimbulkan rasa curiga dan prasangka. Hindari isu-isu yang boleh meniup api kebencian dan permusuhan, dan menolak sentimen yang boleh membawa kepada perpecahan dan perbalahan,” katanya.

Katanya, seluruh anggota pentadbiran kerajaan akan terus berusaha memelihara kestabilan, mengangkat polisi negeri yang berkemajuan supaya setiap misi, gagasan dan sasaran digariskan dalam pelan Perak Sejahtera 2030 dapat jayakan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI