BANDAR GAZA – Rundingan gencatan senjata antara Israel dengan Hamas dilihat semakin sukar sejak beberapa hari kebelakangan ini, lapor Badan Penyiaran Britain (BBC).
Rundingan tersebut diadakan di Kaherah di mana beberapa pegawai kanan dari Amerika Syarikat (AS), Israel, Mesir dan Qatar bertemu untuk cuba melaksanakan jeda pertempuran di Semenanjung Gaza.
Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani memaklumkan bahawa beliau tetap optimis terhadap rundingan tersebut namun berkata, masa tidak memihak kepada mereka.
“Corak rundingan dalam beberapa hari kebelakangan ini tidak begitu lancar tetapi seperti saya selalu ulangi, kami akan sentiasa optimis dan mendesak.
“Dalam perjanjian ini, kita berbincang mengenai skala yang lebih besar, namun masih menghadapi kesukaran dari sudut kemanusian,” katanya pada mesyuarat pemimpin-pemimpin dunia di Persidangan Keselamatan Munich.
Dalam pada itu, Hamas bertegas akan menangguhkan semua rundingan dengan Israel sehingga bantuan sampai kepada penduduk yang terkepung di utara Semenanjung Gaza.
“Rundingan tidak boleh diteruskan ketika kelaparan melanda rakyat kita,” kata sumber Hamas seperti dilaporkan rangkaian berita Quds News Network.
Harapan gencatan senjata musnah pada akhir Januari lalu apabila Netanyahu menolak dua tuntutan utama Hamas dan menggariskan bahawa Israel tidak akan berundur dari Gaza atau membebaskan tahanan yang ditahan di Israel. – AGENSI