PAPAR – Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal diadakan pada 23 Februari depan.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan NACCOL, Datuk Armizan Mohd. Ali.
Armizan berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) selaku urusetia NACCOL sudah mendapat pengesahan dari Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bahawa salah satu perkara yang akan diangkat untuk pertimbangan adalah berkaitan bekalan beras negara.
“Kuasa kawal selia padi dan beras termasuklah berkaitan hala tuju bekalan serta harga terletak di bawah KPKM sejak berkuatkuasanya Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522).
“Oleh itu, sebarang perubahan yang melibatkan dasar dan program kerajaan yang terkait dengan industri padi dan beras merupakan tanggungjawab Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
“Ia sejajar dengan Perintah yang dikeluarkan di bawah Akta Fungsi-Fungsi Menteri 1969,” katanya ketika ditemui media sempena Majlis Berkhatan Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawang hari ini.
Sementara itu, Armizan menyatakan kos sara hidup juga antara isu yang bakal diutarakan dalam mesyuarat itu nanti.
Armizan berkata, ia termasuklah saranan bagi mewujudkan indikator kos sara hidup.
“Melalui indikator ini, kita bukan sahaja boleh melihat indeks harga pengguna yang spesifik tetapi mampu melakukan penilaian secara menyeluruh dalam konteks pengagihan bantuan kepada rakyat,” katanya. – KOSMO! ONLINE